Sunday, November 14, 2010

Muhasabah Kasih untuk Cinta

Saudaraku,

Hayatilah Persaudaraan Kerana Allah

Assalamualaikum,

Semoga perjalanan hidup kalian sentiasa dilingkungi rahmat dan di bawah peliharaan-Nya jua. Tasbih dan tahmid hanya untuk khaliq yang Maha Pencipta segala sesuatu. Selawat dan salam buat junjungan mulia, kekasih-Nya, Al-Amin, para sahabah yang setia bersama baginda serta para duat yang sedang dalam perjalanan ke nokhtah kebenaran bersama bebanan tanggungjawab yang terpikul di bahu-bahu mereka.

Renungi sejenak firman-Nya yang mulia yang mafhumnya:

"Dan yang mempersatukan hati mereka (orang-orang yang beriman). Walaupun kamu membelanjakan semua (kekayaan) yang berada di bumi, nescaya kamu tidak dapat mempersatukan hati mereka, akan tetapi Allah telah dapat mempersatukan hati mereka. Sesungguhnya Dia Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.".
(Terjemahan surat Al-Anfaat: Ayat 63)

Ikatan akidah Islam itu adalah sekuat-kuat ikatan. Dan, di situlah terbitnya ukhuwah fillah (persaudaraan yang terjalin semata-mata kerana Allah). Keindahan persaudaraan akan terserlah tatkala keimanan yang jitu tersemat di dalam hati.

Saudara,

Apabila ditinjau hasil persaudaraan yang dibentuk oleh Rasulullah s.a.w. di jiwa para sahabah, maka di sana terpancarlah betapa mulianya hati-hati yang mampu menghayatinya. Bukan harta sahaja yang sanggup diserahkan hatta nyawa sekalipun sanggup dijadikan cagaran.

Marilah kita rengungi kisah pada zaman sahabah. Sebaik sahaja selesai peperangan, para pejuang meninjau sahabat-sahabat mereka yang masih hidup. Tatkala itu, seorang pejuang terlihat tiga sahabatnya dalam keadaan parah dan tidak bermaya. Dia segera menuju sabahat terdekat yang kehausan, lalu diisyaratkan agar air itu diserahkan kepada sahabat itu. Tatkala air hendak diteguk, terdengar pula rintihan sabahat yang ketiga, lalu diisyaratkan sebagaimana yang dilakukan oleh sahabat yang pertama. Sahabat yang akhir pula sayu melihat keadaan kedua-dua sahabatnya, lalu meminta agar air itu dikembalikan kepada sahabat yang pertama. Apabila tiba pada pahlawan pertama tadi, ternyata dia telah syahid. Pejuang itu segera menuju dua sahabatnya lagi, namun semuanya kembali menemui Allah dengan keagungan sifat persaudaraan yang tertanam di hati mereka.

Demikian manisnya persaudaraan yang tidak didasarkan kepada kepentingan diri. Tidak terdiri atas sikap haloba harta dunia dan tidak tertegak dengan kata-kata manis semata-mata. Akan tetapi, itulah persaudaraan yang hakiki.

Lantaran itu,

Kembalilah merengungi hakikat kita hari ini. Persaudaraan yang kita laungkan untuk Allah, yang berdasarkan keimanan yang hanya kepada Allah hakikatnya terlalu jauh berbeza daripada persaudaraan yang diamalkan oleh generasi terdahulu. Jangankan berkorban untuk sahabat, bahkan peringkat persaudaraan yang paling rendah sekalipun, tidak mampu kita realisasikan.

Sedarilah duhai sahabat,

Persaudaraan yang sejati adalah bertitik tolak daripada keikhlasan dan kasih sayang yang benar, semata-mata kerana Allah. Kesilapan yang lalu dijadikan sebagai iktibar dan tidak harus diulangi. Pohonlah bantuan daripada Allah, moga-moga persaudaraan yang kita jalinkan ini akan diredai oleh-Nya.



No comments:

Post a Comment