Wednesday, November 17, 2010

UKHUWAH FILLAH: Antara Memahami Dan Merasai


Tidaklah terlalu sukar untuk mencari teman yang mampu memahami masalah yang membebankan kehidupan kita. Namun Ukhuwah menawarkan sesuatu yang lebih indah iaitu teman yang bukan sekadar memahami tetapi juga turut merasai bebanan perasaan yang sedang kita tanggung.
Teman atau sahabat yang terbina diatas rasa persaudaraan kerana Allah memiliki jiwa yang begitu halus dan peka. Ia benar-benar menginginkan kebahagiaan untuk sahabatnya hingga sentiasa mengingati nama sahabatnya setiap kali berdoa dan munajat. Ketika sahabatnya berada dalam kesusahan maka ia pun turut merasainya lalu sering ia memanjangkan sujud memohon kebaikan untuk sahabatnya.

Ya, tentu sukar tetapi tidak mustahil. Rahsianya ialah IMAN. Ya, persaudaraan yang terbina diatas dasar iman bukan kerana kepentingan duniawi atau nafsu. Persaudaraan yang menjadikan syurga dan keredhaan Allah sebagai matlamat utama.

Ya, tentu sukar untuk membayangkannya sebagaimana sukarnya untuk kita melupakannya setelah kita benar-benar merasainya. Pernahkah kita merasakan simpati ketika melihat wajah teman kita yang dilanda kesedihan dan dia belum sempat meluahkan perasaan atau mengadu kepayahannya kepada kita. Atau pernahkah kita terasa bahagia ketika teman kita baru sahaja cuba membuka mulutnya untuk berkongsi kebahagiaan. Sekiranya belum maka tentu kita belum pernah merasainya (ukhuwah) dan sekiranya pernah maka mungkinkah ukhuwah ini hanya diruntuhkan hanya dengan khabar-khabar angin atau umpatan-umpatan orang-orang yang lemah imannya.

No comments:

Post a Comment